KUALA LUMPUR: Penganjur konsert artis K-Pop, B1A4 di KL Live Center baru-baru ini, TGM Events menjelaskan kedudukan sebenar insiden kurang menyenangkan membabitkan peminat perempuan Melayu bertudung terhadap kumpulan itu.
Video perjumpaan dengan peminat berdurasi tiga minit 21 saat yang menunjukkan aksi beberapa gadis Melayu berpelukan dengan anggota kumpulan berkenaan, selain aksi mencium dahi yang mencetuskan viral di media sosial dan kemarahan orang ramai.
Menerusi laman rasmi Facebook mereka, TGM Events dengan meminta maaf atas perkara berbangkit dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan dalam perkara membabitkan soal budaya dan agama ketika interaksi antara peminat dan artis.
TGM Events juga berkata, pihaknya menyedari sebahagian daripada pengisian program berkenaan atas mendapat perhatian dan liputan pihak media, sekali gus berasa bertanggung jawab menjelaskan hal yang berlaku.
"Peminat dipilih secara rawak, berdasarkan soalan yang mereka letakkan pada papan mesej bersama nama pertama mereka. Artis, pengurusan artis dan penganjur tidak tahu identiti peminat yang dipilih itu sehinggalah mereka dibawa ke atas pentas.
"Ia juga bukan sebahagian daripada protokol standard artis K-Pop untuk melayan peminat secara dekat.
"Bagaimanapun, memandangkan ini menjadi acara khas bertemu peminat, program ini dibuat khusus untuk menjalin hubungan baik antara artis dan peminat.
"Sebelum acara bermula, hos acara sudah mengingatkan peminat supaya tidak menyentuh atau berada terlalu dekat dengan anggota kumpulan penyanyi berkenaan. Soal menghalang peminat daripada melakukan aktiviti yang mereka mahu sertai secara sukarela adalah bukan dalam bidang kuasa kami," kata TGM Events.
Menurut TGM Events, sebagai syarikat yang sebahagian besarnya diusahakan oleh wanita, pihak mereka tidak sekali-kali membenarkan perlakuan cabul atau gangguan seksual seperti yang digembar-gemburkan media.
"Istilah berkenaan telah digunakan di luar konteks dan adalah sangat mengecewakan bagi kami untuk melihat gaya kewartawanan yang tidak bertanggungjawab.
"Kami tidak mendiskriminasi mana-mana peminat berdasarkan kaum atau agama mereka. Oleh sebab itu, program kami dirancang bersesuaian dengan minat penonton kami.
"Kami juga tidak melayan gangguan secara dalam talian. Maka, kami tidak akan mengeluarkan sebarang maklumat tentang peminat yang terlibat. Kami melindungi privasi mereka termasuk aspek fizikal dan psikologi," kata TGM Events.
INFO
B1A4 dianggotai lima anggota iaitu Jinyoung, Baro, Sandeul, CNU dan Gongchan.
Berasal dari Korea Selatan di bawah label WM Entertaintment, kumpulan ini turut melebarkan sayap di Negara Matahari Terbit sejak 2011.
Kumpulan ini sudah melahirkan satu album studio, 2 EP dan pelbagai single di negara kelahiran mereka.
0 comments:
Post a Comment