Kuala Krai: “Belum cukup 100 jam tidur di tapak rumah ini, saya bersama suami dan dua anak terpaksa berpindah lagi buat kali kedua ke bukit berhampiran.
“Semuanya kerana air sungai naik tiba-tiba selepas hujan turun tidak berhenti sejak semalam (kelmarin),” kata Sakinah Abdullah, 46, ketika ditemui, semalam.
Sakinah dari Kampung Kebun Pisang, Chenulang, di sini, berkata, dia masih lagi trauma dengan musibah besar yang berlaku 23 Disember lalu dan kini bimbang kejadian sama berulang kembali.
Katanya, hujan lebat sejak malam kelmarin menyebabkan mereka sekeluarga tidak boleh tidur dan suaminya, Marzuki Ismail, 50, mengajak mereka berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
“Masa banjir dulu, rumah saya runtuh menyebabkan kami bina khemah atas tapak rumah selepas banjir surut.
“Kali ini kami berpindah lagi kerana bimbang kejadian sama berulang disebabkan air Sungai Pasir Jering terletak kira-kira 100 meter dari rumah melimpah.
“Kampung lain yang berhampiran turut menghadapi keadaan serupa. Kami harap banjir gelombang ketiga tidak berlaku,” katanya.
Kampung lain yang terbabit adalah Kampung Dusun Bunut, Kebun Pisang dan Pasir Jering manakala Jambatan Jering yang menjadi laluan keluar masuk penduduk turut tenggelam, kelmarin.
Bagaimanapun, semalam air dilaporkan mulai surut dan tidak membahayakan penduduk.
Sakinah mengakui pengalaman menghadapi banjir pada 23 Disember tahun lalu menyebabkan dia lebih bersedia kali ini dan tidak mudah panik.
“Apabila nampak air naik sikit, saya dan anak berusia 11 dan 22 tahun sedia untuk berpindah di kawasan bukit di hadapan rumah. Kami berkhemah dulu di sini sehingga selamat.
“Sebelum ini kami sekeluarga menumpang di kawasan stesen janakuasa kecil Tenaga Nasional Berhad kerana itu satu-satunya kawasan paling tinggi di kampung ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment